NUR RIDHWAN BIN ZULKIPLI
(Sport Management Science Student, University of Malaya)
A RISING STAR OF SARAWAK
Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua pembaca. Saya, Nur Ridhwan Bin Zulkipli, pelajar tahun ketiga di Universiti Malaya, berasa amat gembira dan turut teruja kerana diberi peluang untuk berkongsi serba sedikit pengalaman dan kejayaan rakan karib saya dalam sukan yang beliau ceburi.
Muhd Shafiq Abdullah, 23, yang juga merupakan seorang pelajar tahun ketiga di Univesiti Sains Malaysia, bukan sahaja berprestasi tinggi dalam sukan, namun merupakan pelajar cemerlang di Tingkatan 6. Berasal dari Kalimantan, menetap di Sarawak beberapa tahun dan menimba ilmu di sana bersama keluarga tersayang. Beliau telah berkecimpung dalam sukan gusti lengan daripada umurnya 13 tahun sehinggalah sekarang. Dari awalnya, beliau berkecimpung dalam sukan bina badan kalistenik, berlatih sendiri tanpa ada seorang pun jurulatih. Dengan semangat dan motivasi yang turut dibekalkan oleh rakan-rakan sekeliling, beliau tidak pernah berputus asa dalam apa jua yang beliau ceburi. Sehinggalah di suatu titik, beliau ingin mencuba untuk menyertai satu pertandingan gusti lengan yang dianjurkan di Sarawak, usaha beliau membuahkan hasil apabila beliau mendapat pingat emas dalam kategori senior 70kg.
"A Rising Star"
Diberi julukan "A Rising Star", beliau yang mulanya daripada kosong sehinggalah ke saat ini dengan usaha keras dan titik peluh beliau sendiri. Telah memenangi beberapa pertandingan gusti lengan di Sarawak, sehingga dapat membuka mata satu kelab gusti lengan besar di Sarawak, iaitu Premier 101 Arm Wresling Club. Beliau juga merupakan presiden Kelab Byarm, sebuah kelab gusti lengan yang berpusat di Daerah Meradong. Dengan tanggungjawab yang digalas, beliau mampu mengharumkan nama kelab tersebut apabila memenangi pertandingan gusti lengan di peringkat Sarawak. Kini, kelab tersebut berada di bawah tajaan penuh oleh seorang individu mulia yang juga berasal dari Meradong, dan beliau mengharapkan agar generasi muda berkecimpung dalam sukan ini kerana beliau melihat bahawa sukan ini boleh membawa mereka pergi ke peringkat yang lebih jauh.
"Achievement"
Dalam pencapaian tertinggi beliau, Muhd Shafiq Abdullah baru-baru ini telah memenangi pingat emas dalam National Championship dan akan mewakili Malaysia untuk Asia Championship yang diadakan di Kuala Lumpur. Beliau juga akan mewakili Malaysia untuk IFA World Championship yang diadakan di Perancis pada bulan September yang akan datang. Bukan itu sahaja, beliau juga telah banyak memungut pingat dalam beberapa pertandingan gusti lengan terbuka yang dianjurkan di peringkat Sarawak.
"Hope"
Dengan kemenangan yang beliau bawakan, beliau berharap agar generasi muda di Sarawak dapat membuka mata mereka dan menyertai sukan ini kerana beliau berpendapat bahawa generasi muda di Sarawak amat berbakat dalam sukan ini, cuma segan atau malu untuk menonjolkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Saya merasa bahawa Muhd Shafiq Abdullah ini boleh dijadikan satu contoh atau "role model" kepada semua penggiat muda gusti lengan kerana beliau yang mulanya dari kosong, membuat latihan secara bersendirian tanpa jurulatih, sehinggalah pada masa ini, telah menempa nama di peringkat Sarawak mahupun Malaysia sehingga digeruni oleh atlet gusti lengan di negeri lain. Sekian, coretan daripada saya, ditutup dengan serangkap pantun.
Di kebun sayur menanam sawi,
Ada pula seekor binatang,
Tetaplah berjuang tanpa henti,
Jangan kau malah patah arang.
Sport has a power to change the world
NUR RIDHWAN BIN ZULKIPLI
(Pelajar Tahun Ketiga, Sains Pengurusan Sukan,
Universiti Malaya)

Comments
Post a Comment